Wednesday, November 30, 2016

26 November 2016 - Restoran Norazlina Chong, Seksyen 2 Wangsa Maju, Kuala Lumpur - Makanan Cara Cina.

To read this article in English, click here.


Papan perniagaan Restoran Norazlina Chong.

26 November 2016 (Sabtu)

Restoran Norazlina Chong
41, Jalan Metro Wangsa
Wangsa Maju
53300 KUALA LUMPUR


Saya sudah lama mengidamkan makan itik panggang yang halal. Rasa itik panggang Wai Kee di Pasar Bowrington Road, Wan Chai, Hong Kong, yang saya makan semasa kunjungan saya ke Hong Kong pada 11 November 2015, masih lagi terasa umpama baru sahaja saya memakannya. Agak susah untuk mencari itik panggang halal. Jika jumpa pun, itik panggang terbabit agak terasa hanyir.


Papan perniagaan Restoran Norazlina Chong.

Alhamdulillah, saya mendapat maklumat, terdapat itik panggang yang dikatakan sedap, berhampiran tempat tinggal saya. Lalu saya ke restoran ini, yang terletak di Seksyen 2, Wangsa Maju. Jika dari simpang Wangsa Maju di Jalan Genting Klang, perlu ambil jalan menuju ke Wangsa Maju menuju ke Stesen LRT Wangsa Maju. Seterusnya, terus melepasi stesen LRT terbabit dan sebelum sampai ke simpang tiga (bakal menjadi simpang empat tidak lama lagi), belok ke kiri dan sebelum sampai simpang tiga berlampu isyarat, akan terdapat satu susur ke kiri, kiranya susur ini terletak di seberang Masjid Usamah bin Zaid. Restoran ini betul-betul dekat dengan tangga jejantas masjid ini.

A
Peta: Restoran Norazlina Chong, Seksyen 2 Wangsa Maju


Itik panggang yang digantung di depan restoran.

Keadaan di dalam Restoran.

Sampai di restoran ini, akan terdapat sebuah gerai yang tergantung beberapa ekor itik panggang. Memang tertelan air liur saya melihatnya. Memang menyelerakan. Di samping itu, akan terdapat juga tempat untuk memanggang makanan panggang (gril) yang juga dijual di restoran ini.

Saya pun duduk di salah sebuah meja, dan pelayan memberikan saya menu. Memang terdapat banyak makanan yang ditawarkan oleh restoran ini seperti ayam penyet, Daging Liang Ban (Daging Sejuk), Bahu Kambing Gril, pelbagai makanan berasas daging ayam, daging, sayur yang dicucuk untuk digril, mee wantan dan sebab saya datang ke sini, itik panggang. Selain itu, makanan biasa pesanan biasa terdapat di restoran Thai juga ada di restoran ini. Bagi hari Jumaat, terdapat hidangan nasi campur ditawarkan.

Minuman pula adalah biasa seperti restoran biasa termasuk air buah. Cuma yang lebih menarik, air yang biasa dapat di restoran Cina juga terdapat di restoran ini seperti air mata kucing (yang dibuat sendiri) dan beberapa jenis teh cina.

Menu Restoran Norazlina Chong.

Nasi Itik di Restoran Norazlina Chong.

Saya memesan nasi itik dan minuman air teh cina biasa. Minuman sampai dalam masa 5 miniy, cuma air teh cina saya masih belum dibru, di mana tehnya masih terapung di atas. Selepas 15 minit, tidak semua daun teh ini tenggelam di dasar.

Saya menunggu agak lama juga untuk pesanan nasi itik saya sampai, kira-kira lima belas minit juga. Namun apabila sampai, memang tidak sabar nak merasainya. Itik yang diberikan adalah bahagian peha dengan nasi. Sos diberikan adalah sos nasi ayam dan juga madu serta kuah berasas taucu yang biasa diberikan untuk nasi itik.

Itik panggangnya bagi saya agak baik, kalau nak banding itik panggang Wai Kee di Hong Kong memang tidak boleh ditandingi, tetapi ia adlaah terbaik di Malaysia. Dagingnya tidak hanyir, pejal dipegang tetapi lembut di makan, bermakna ia adalah itik segar. Paling terbaik, kulit itik panggangnya agak rangup. Inilah itik panggang halal terbaik yang pernah saya makan.

Saya sedang menikmati Nasi Itik.

Itik panggang yang kenyal dan sedap.

Nasi itik yang saya berharga RM10.00 dan teh cina pula RM1.50, jadi jumlahnya RM11.50. Memang agak berbaloi. Jika berminat, kita juga boleh memesan itik panggang sahaja dengan harga RM15.00 bagi 1/4 ekor bahagian kepak atau RM18.00 untuk bahagian peha. Bagi 1/2 ekor, harganya RM30.00 dan seekor pula harganya RM58.00. 

Jadi saya memang mencadangkan restoran ini untuk anda yang meminati itik panggang. Di lain masa saya akan mencuba makanan lain di restoran ini.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: äää3/4; 
2. Persekitaran: ääää;
3. Perkhidmatan: äää1/2;
4. Harga: äää3/4;
5. Keseluruhan: äää3/4.


To read this article in English, click here

No comments:

Post a Comment