Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts
Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts

Wednesday, November 30, 2016

26 November 2016 - Restoran Norazlina Chong, Seksyen 2 Wangsa Maju, Kuala Lumpur - Makanan Cara Cina.

To read this article in English, click here.


Papan perniagaan Restoran Norazlina Chong.

26 November 2016 (Sabtu)

Restoran Norazlina Chong
41, Jalan Metro Wangsa
Wangsa Maju
53300 KUALA LUMPUR


Saya sudah lama mengidamkan makan itik panggang yang halal. Rasa itik panggang Wai Kee di Pasar Bowrington Road, Wan Chai, Hong Kong, yang saya makan semasa kunjungan saya ke Hong Kong pada 11 November 2015, masih lagi terasa umpama baru sahaja saya memakannya. Agak susah untuk mencari itik panggang halal. Jika jumpa pun, itik panggang terbabit agak terasa hanyir.


Papan perniagaan Restoran Norazlina Chong.

Alhamdulillah, saya mendapat maklumat, terdapat itik panggang yang dikatakan sedap, berhampiran tempat tinggal saya. Lalu saya ke restoran ini, yang terletak di Seksyen 2, Wangsa Maju. Jika dari simpang Wangsa Maju di Jalan Genting Klang, perlu ambil jalan menuju ke Wangsa Maju menuju ke Stesen LRT Wangsa Maju. Seterusnya, terus melepasi stesen LRT terbabit dan sebelum sampai ke simpang tiga (bakal menjadi simpang empat tidak lama lagi), belok ke kiri dan sebelum sampai simpang tiga berlampu isyarat, akan terdapat satu susur ke kiri, kiranya susur ini terletak di seberang Masjid Usamah bin Zaid. Restoran ini betul-betul dekat dengan tangga jejantas masjid ini.

A
Peta: Restoran Norazlina Chong, Seksyen 2 Wangsa Maju


Itik panggang yang digantung di depan restoran.

Keadaan di dalam Restoran.

Sampai di restoran ini, akan terdapat sebuah gerai yang tergantung beberapa ekor itik panggang. Memang tertelan air liur saya melihatnya. Memang menyelerakan. Di samping itu, akan terdapat juga tempat untuk memanggang makanan panggang (gril) yang juga dijual di restoran ini.

Saya pun duduk di salah sebuah meja, dan pelayan memberikan saya menu. Memang terdapat banyak makanan yang ditawarkan oleh restoran ini seperti ayam penyet, Daging Liang Ban (Daging Sejuk), Bahu Kambing Gril, pelbagai makanan berasas daging ayam, daging, sayur yang dicucuk untuk digril, mee wantan dan sebab saya datang ke sini, itik panggang. Selain itu, makanan biasa pesanan biasa terdapat di restoran Thai juga ada di restoran ini. Bagi hari Jumaat, terdapat hidangan nasi campur ditawarkan.

Minuman pula adalah biasa seperti restoran biasa termasuk air buah. Cuma yang lebih menarik, air yang biasa dapat di restoran Cina juga terdapat di restoran ini seperti air mata kucing (yang dibuat sendiri) dan beberapa jenis teh cina.

Menu Restoran Norazlina Chong.

Nasi Itik di Restoran Norazlina Chong.

Saya memesan nasi itik dan minuman air teh cina biasa. Minuman sampai dalam masa 5 miniy, cuma air teh cina saya masih belum dibru, di mana tehnya masih terapung di atas. Selepas 15 minit, tidak semua daun teh ini tenggelam di dasar.

Saya menunggu agak lama juga untuk pesanan nasi itik saya sampai, kira-kira lima belas minit juga. Namun apabila sampai, memang tidak sabar nak merasainya. Itik yang diberikan adalah bahagian peha dengan nasi. Sos diberikan adalah sos nasi ayam dan juga madu serta kuah berasas taucu yang biasa diberikan untuk nasi itik.

Itik panggangnya bagi saya agak baik, kalau nak banding itik panggang Wai Kee di Hong Kong memang tidak boleh ditandingi, tetapi ia adlaah terbaik di Malaysia. Dagingnya tidak hanyir, pejal dipegang tetapi lembut di makan, bermakna ia adalah itik segar. Paling terbaik, kulit itik panggangnya agak rangup. Inilah itik panggang halal terbaik yang pernah saya makan.

Saya sedang menikmati Nasi Itik.

Itik panggang yang kenyal dan sedap.

Nasi itik yang saya berharga RM10.00 dan teh cina pula RM1.50, jadi jumlahnya RM11.50. Memang agak berbaloi. Jika berminat, kita juga boleh memesan itik panggang sahaja dengan harga RM15.00 bagi 1/4 ekor bahagian kepak atau RM18.00 untuk bahagian peha. Bagi 1/2 ekor, harganya RM30.00 dan seekor pula harganya RM58.00. 

Jadi saya memang mencadangkan restoran ini untuk anda yang meminati itik panggang. Di lain masa saya akan mencuba makanan lain di restoran ini.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: äää3/4; 
2. Persekitaran: ääää;
3. Perkhidmatan: äää1/2;
4. Harga: äää3/4;
5. Keseluruhan: äää3/4.


To read this article in English, click here

Friday, September 25, 2015

23 September 2015 - Suria Restaurant, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit), Kuala Lumpur - Makanan Arab.

To read this article in English, click here.




23 September 2015 (Rabu)

Suria Restaurant
Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit), 
50100 KUALA LUMPUR


Pada hari ini, saya telah bercuti kerana esoknya adalah Hari Raya Aidiladha, jadi pada tengaharinya, saya dan isteri ingin keluar dari rumah untuk mencuba bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur yang sepatutnya kami mencuba pada esoknya (boleh klik link yang berkenaan di blog KembaraGD). Anak-anak telah kami hantar ke kampung isteri sempena cuti sekolah.


Sebenarnya kami belum makan tengahari lagi pada ketika itu di mana kami keluar dari rumah selepas menunaikan solat Zohor. Terlintas di dalam fikiran saya, bahawa kami sudah lama  tidak makan nasi mendi atau senang orang Malaysia panggil nasi Arab yang murah di Chow Kit. Jesteru itu, kami menunggang motorsikal kami terus menuju ke tempat tersebut.


Restoran yang kami maksudkan adalah Suria Restaurant yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di kawasan Chow Kit. Ia bertentangan dengan stesen minyak Shell, dan berdekatandan sebaris dengan Maybank, Mydin dan TM Point. Kemudahan tempat letak motorsikal terdapat banyak di depan Mydin dan Maybank di atas siar pejalan kaki yang disediakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jika menggunakan kereta, agak sukar, perlu mencari tempat letak yang sewajarnya yang agak jauh. Jika anda sudi membayar saman dari DBKL atau polis trafik, letak sahaja di depan restoran, cuma anda membantu menyesakan jalan.



Nama Suria pada restoran ini bukan sempena nama matahari tetapi merupakan sebutan orang-orang Arab bagi negara Syria. Pemilik restoran ini merupakan orang Syria yang telah berhijrah ke Malaysia sekian lamanya, malah telah berkahwin dengan orang tempatan. Sebenarnya, restoran ini merupakan perniagaan sampingannya, perniagaan utama beliau adalah pasaraya yang menjual barangan runcit Arab, Suria Wholesale Sdn Bhd yang mempunyai kedai selang 3 kedai dari restoran ini dan satu lagi tidak jauh dari situ (bersebelahan dengan CIMB Bank Chow Kit). Malah, perniagaan beliaulah yang mengimport utama minuman Barbican di negara ini, di mana di kedainya menjualnya dengan harga RM2.50 sahaja sebotol.




Di hadapan restoran ini, akan ternampak ketuhar khas untuk ayam panggang golek dan juga kaunter syawarma (kebab) di samping tempat khas roti-roti serta kaunter khas untuk makanan bungkus. Kami terus masuk ke dalam restoran yang mana ia berhawa dingin.




Sesungguhnya suasana restoran ini berubah berbanding dahulu. Kini restoran ini lebih luas dengan lebih banyak meja dan lebih selesa. Terdapat juga kemudahan tandas. Malah sekarang terdapat juga bar khas untuk minuman jus buah-buahan.



Kami pun duduk di meja yang ada. Cuma, agaknya memang budaya Arab, perkhidmatan layan pelanggannya seperti hendak tak hendak sahaja (sama seperti mana-mana restoran Arab tidak kira di Malaysia atau di negara Arab sendiri). Dekat beberapa minit, walaupun punat loceng di meja ditekan, barulah sampai untuk berikan menu.




Tidak dinafikan, harga makanan arab di sini antara termurah. Terdapat beberapa hidangan nasi tidak terhad kepada mendi sahaja, seperti kabsah, biryani dan madghaut. Untuk hidangan nasi dengan ayam suku ekor, harganya cuma RM6.00 sahaja! Untuk hidangan kambing, hanya RM12.00 sahaja! Murah bukan. Ada juga hidangan separuh ayam dan juga seekor ayam.



Kami memesan sepinggan Nasi Mendi Ayam (untuk isteri saya) dan Nasi Kabsah Ayam untuk diri saya. Cukuplah ambil ayam suku sahaja masing-masing. Ayam yang digunakan adalah ayam panggang golek, cuma bagi saya ia agak kering, terlebih masak dan jika di hujung kepaknya agak hangus. Tapi nasib baik ada sup (atau jus?) lemak kambing/ayam yang diberikan bersama-sama nasi.


Hmmm, memang nikmat, sudah lama tidak rasa makanan arab. Bolehlah ke sini jika bajet anda agak kurang namun amat teringin makan makanan Arab, cuma bahagiannya (portion) agak sikit berbanding di restoran lain. Saya agak suka nasi kabsahnya yang agak berempah. Untuk minuman, biasanya saya akan memesan Barbican perisa buah delima, namun cuma ada perisa asli (malt) sahaja yang kurang saya minati. Jadi saya ambil Mirinda Strawberry sahaja. Isteri saya suka minuman jenama Rani (jenama dari negara Arab yang popular, malah terdapat di Makkah) terutama perisa mangga.



Akhirnya habis juga makanan yang kami makan ini. Alhamdulillah. Restoran ini amat sesuai, terutama jika hendak atau pulang dari membeli-belah di pasar Chow Kit (Raja Bot) atau sekitarnya seperti GM Plaza. Memang hidangan Arab asli yang bajet.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: äää; 
2. Persekitaran: ääää;
3. Perkhidmatan: ää;
4. Harga: ääää;
5. Keseluruhan: äää.


To read this article in English, click here.

Monday, March 16, 2015

15 Mac 2015 - Restoran Go'Bang Maju, Sri Rampai, Kuala Lumpur - Masakan Melayu (Gulai Patin Tempoyak Temerloh).

To read this article in English, click here.



15 Mac 2015 (Ahad)

Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Termerloh
No. 19, Jalan Sri Rejang 1
Taman Sri Rampai
55100 Kuala Lumpur

Sewaktu saya sedang berkursus di Sungai Petani, Kedah, pada satu pagi, ketika bersarapan pagi, saya menonton program Malaysia Hari Ini (MHI) di saluran TV3. Paparannya ketika itu adalah sebuah restoran ikan patin masak tempoyak di Kuala Lumpur. Kedudukan restoran ini tidak berapa jauh dari kediaman saya maka, saya berfikir, mungkin ketika saya pulang ke Kuala Lumpur, saya akan pergi ke restoran ini.


Jadi pada tengahari Ahad, selepas saya selesai berurusan mengenai perniagaan, kebetulan isteri dan anak lelaki saya baru pulang dari perlawanan bolasepak, kami mencari restoran ini. Akhirnya jumpa, agak sukar sedikit, kerana ia bukan terletak di lot yang mudah lihat dari jalan besar.



Bilangan kereta di hadapan restoran ini, amat banyak, menandakan memang ramai penggemar ikan patin tempoyak ala Temerloh ini. Sebenarnya, restoran ini merupakan cawangan bagi restoran asal Restoran Go'Bang Maju yang terletak di kawasan bawah jambatan Temerloh iaitu di jalan menuju ke Triang. Jadi dikatakan kualitinya lebih kurang sahaja.

 

Orang yang makan ketika kami sampai sebenarnya amat ramai juga. Boleh katakan hampir tiada meja kosong. Jika ada pun, meja yang telah ditempah. Namun kami bernasib baik kerana ketika kami masuk sahaja restoran, kebetulan sebuah meja baru sahaja dibersihkan dan terus kami duduk di kerusi yang ada di meja tersebut.


Kami seterusnya ke kaunter untuk mengambil nasi. Nasi yang diberikan adalah berserta ulam timun, daun salad dan sedikit ricikan kobis ungu bersama sambal belacan serta telur masin. Terdapat lauk-lauk lain yang boleh dipilih di atas kaunter tersebut seperti asam pedas, ikan goreng dan sebagainya, kami cuma ambil telur dadar sahaja. 

Ini kerana tujuan kami adalah gulai tempoyak ikan patin ala Temerloh yang panas-panas. Ia boleh diperolehi selepas kaunter lauk-lauk terebut. Kami memilih semangkuk gulai dengan kepala patin (untuk saya) dan semangkuk lagi bersama ekor untuk isteri saya. Ia diangkat terus dari periuk besar yang masih panas. Semasa kuah gulai dituang ke dalam mangkuk, dalam hati saya mahu sahaja meleleh sahaja air liur tetapi tidaklah boleh dibuat secara fizikal. 


Semasa membawa dua mangkuk gulai tempoyak ikan patin ini, harumannya cukup menggoda. Saya terasa langkah saya laju sahaja untuk segera ke meja untuk menjamahnya. Hhhmmmm. Harga bagi semangkuk gulai tempoyak kepala ikan patin adlaah RM13.00/potong, manakala bagi badan atau ekor pula adalah RM15.00/potong.

Namun tidak lengkap jika makan ikan patin ini tanpa ulam-ulaman. Jadi saya ke kaunter ulam-ulaman dan buah-buahan untuk melengkapi makanan kami. Ternampak pula ada budu berdekatan dengan ulam-ulaman, bermakna, kemungkinan besar saya kurang menyentuh sambal belacan yang ada, kerana bagi saya makan ulam dengan budu adalah pelengkap gulai tempoyak ikan patin. Budu dan gulai tempoyak adalah pasangan serasi, maaf ye sambal belacan, awak kurang serasi dengan rasa gulai tempoyak, huhuhu.


Terdapat juga kaunter ikan patin bakar dan ikan patin pais, cuma hidangan tersebut bukan fokus kami pada hari ini. Insya Allah di lain masa.



Antara dekorasi di dinding restoran.


Di restoran ini juga disediakan surau untuk para pekerja dan para pelanggan menunaikan kewajipan semasa di restoran ini. Langkah yang amat baik sekali.


Terdapat juga air yang menjadi minuman rasmi tapi tidak wajib jika ke Temerloh iaitu air jagung special. Juga terdapat air bandung special yang boleh dipesan di kaunter minuman. Kami mengambil air kosong/suam sahaja yang free flow. Bukan apa, saya tidak terasa hendak minum air jagung, lagipun tekak saya mulai hendak merasa batuk, jadi perlu kurangkan pengambilan air. Jika tidak, air jagung adalah pilihan saya. Harga air jagung special dan bandung special adalah RM5.00 segelas.



Hidangan sudah lengkap, apa lagi, masa untuk memangsakan hidangan yang telah diambil. 


Memang tidak cukup kuah yang diberi, masing-masing kami minta tambah kuah. Kuahnya memang pekat, sedap cuma agak pedas. Sesuai dihirup dan dicampur bersama nasi. Hasilnya adalah seperti di bawah.


Bagi saya, bagus juga adanya restoran ini, kerana kita tidak perlu lagi memandu atau pergi ke Temerloh untuk menikmati hidangan ini. Jadi jimat masa, petrol dan juga tidak perlu membayar banyak untuk tol. Rasanya pun hampir sama dengan restorannya di Temerloh, cuma harganya agak mahal sedikit sahaja.


Jadi di atas adalah resit jumlah kemusnahan yang telah dialami oleh kami. Kemusnahan yang berbaloi. Insya Allah akan datang lain di lain masa. 

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (ääää)): 

1. Makanan: ääää1/4;

2. Persekitaran: äää3/4;

3. Perkhidmatan: ääää1/4;

4. Harga: äää1/2;

5. Keseluruhan: ääää.



To read this article in English, click here.

Friday, February 27, 2015

27 Februari 2015 - Restoran Noor, Selangor Mansion (Jalan Masjid India), Kuala Lumpur - Nasi Kandar.

To read this article in English, click here.



27 Februari 2015 (Jumaat)


Restoran Noor
Tingkat Bawah, Selangor Mansion
Lorong Bonus Satu off Jalan Masjid India,
Kuala Lumpur


Hari ini, sebelum solat Jumaat, saya terasa hendak makan nasi kandar. Sebenarnya, di sekitar kawasan Medan MARA, terdapat banyak restoran-restoran nasi kandar seperti Nasi Kandar Kudu, Restoran Yasin, Sitique Nasi Kandar dan Restoran Ibrahim Shah. Semua popular. Insya Allah saya akan coretkan restoran-restoran itu pada masa akan datang.


Namun untuk kali ini, saya akan berkongsi pengalaman pekena nasi kandar yang mungkin tidak ramai yang ketahui, tetapi rasanya memang mantap. Restoran Noor, terletak di bawah rumah pangsa Selangor Mansion yang terletak di Jalan Masjid India. Namun restoran (atau sebenarnya kedai sahaja) lebih tepat berada di Lorong Bonus Satu yang sejajar dengan Sungai Kelang. Pada gambar di atas, restoran ini terletak di dalam tirai Milo dan Nescafe.


Restoran ini sebenarnya terletak di lorong masuk ke rumah pangsa Selangor Mansion ini. Memang ringkas sahaja restoran ini. Tapi rasa nasi kandarnya serta nasi briyaninya memang sedap. Terdapat ayam, ikan, kambing dan yang paling istimewa, ITIK. Mana ada restoran lain tawarkan kari itik.


Singgahan saya kali ini, saya tidak mengambil itik, tapi saya mengambil kari kambing sebagai lauk bagi nasi putih. Buat masa ini, saya tidak ingin makan nasi briyani, tapi insya Allah di lain masa.


Harganya pun berpatutan, dengan hanya RM7.50 bagi nasi putih bersama sayur taugeh dan kari kambing bersama air kosong. Nasi putih saya meminta kuah campur. Perkhh, terbaik.


Jangan lupa meminta sup rasam untuk di makan bersama, ia percuma sahaja. Juga, acar limau sebagai penambah selera, perlu diminta, ia juga adalah percuma. Bagi saya acar limaunya terbaik di Kuala Lumpur. Kalah juga kedai daun pisang India, serius memang terbaik acar limaunya.


Di bawah ini adalah gambar senarai harga bagi hidangan di Restoran Noor Selangor Mansion ini. Insya Allah akan datang lagi.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (ääää)): 

1. Makanan: ääää; 

2. Persekitaran: ää1/2;

3. Perkhidmatan: ääää;

4. Harga: ääää;

5. Keseluruhan: äää3/5.



To read this article in English, click here.

Wednesday, September 24, 2014

11 Ogos 2014 - Restoran Hokkaido, Jalan Lumut (Kompleks Damai), Kuala Lumpur - Makanan Laut Cara Cina.

To read this article in English, click here.



11 Ogos 2014 (Isnin)

Restoran Hokkaido
No 68, Jalan Lumut
Kompleks Damai
Kuala Lumpur


Niat saya untuk makan di sini sudah lama. Tapi pada hari ini saya merupakan hari terakhir puasa 6 Syawal juga, dan juga esoknya merupakan tarikh hari lahir isteri kesayangan saya. Maka saya nak juga makan besar sempena peristiwa tersebut.

Maka pada jam 6:00 petang, saya, isteri dan anak-anak bergerak dengan kereta ke sini. Almaklumlah gerak waktu petang di bandaraya Kuala Lumpur, jalan pasti sesak. Memang pun dan sampai ke destinasi dekat jam 7:05 petang. Nasib baik ada parking depan Hotel Vistana di bawah jambatan LRT. Untuk pengetahuan, restoran ini betul-betul berhadapan dengan Hotel Vistana Titiwangsa KL dekat dengan Stesen Bas Pekeliling dan LRT/Monorel Titiwangsa.


Restoran ini memang menghidangkan makanan laut dan jika ayam dan daging, ia diambil dari bekalan yang halal. Tiada babi disediakan. Namun kenapa restoran ini tidak dapat sijil halal, kerana ia menyediakan minuman berakohol (bir) untuk pelanggan. Itu sahaja. Tukang masak pun merupakan orang Melayu Islam.


Antara paparan makanan laut segar.


Ambil kau, ada ikan "Jaws" aka ikan yu seekor.


Antara senarai harga. Mahal sikit dari harga Kuala Selangor dan Teluk Panglima Garang.


Suasana restoran ini agak santai dan tenang. Walaupun letak di tengah-tengah bandaraya tapi dengan dekorasi dan susun atur yang menarik. Rasa tenang sahaja. Ruangan terbuka (open air)nya telah dilitupi dengan bumbung lut cahaya dan dihiasi dengan daun-daun, umpama makan di dalam hutan hijau.


Saya pesan makanan dalam pukul 7:10 malam. Masa azan pukul 7:20 malam tu makanan tak sampai lagi kecuali Udang Goreng Mentega. Ada la kacang tanah goreng buat pembuka puasa disamping teh cina. Air tin 100Plus tu anak saya bedal dulu.


Akhirnya pada jam 7:25 malam, sampai la hidangan lain. Disamping tu dapat rasa udang yang lama memanggil-manggil untuk dimakan (saya tunggu dulu agar dapat makan sekali dengan makanan lain.

Gambar semua makanan tu saya ambil setelah semua makanan sampai.

Udang Goreng Mentega ini bagi saya agak kecil dengan hanya 6 ekor sederhana. Asalnya mahu minta Udang Goreng Nestum tapi tiada. Bagi udang ini saya bagi äää je. Tapi bumbunya memang sedap dan manis. Bumbunya ääää.


Ketam Nipah Masak Manis Masam di sini bagi saya boleh lah. Dengan 2 ekor, tak habis juga. Bawak balik rumah (pasal nak kejar solat Maghrib di Balai Islam Pekeliling, takut luput waktu solat). Saya bagi äää je.


Untuk sayur, saya minta Asparagus Gireng Bawang Putih. Sedap juga asparagus ni ye. Kenapa bila saya masak macam tak sedap huhuhu. Saya bagi äää3/4.


Macam biasa, Tauhu Jepun Sizzling. Yang ni kira penyelamat. Saya bagi ääää.


Macam biasa juga air rasmi bila makan di restoran Cina saya minta Teh Cina. Memang kegemaran saya, sesuai di minum dengan makanan Cina, tidak potong rasa, menyihatkan dan paling penting boleh tambah tanpa sebarang caj.


Restoran ini tiada Man Tao (Roti Goreng) tapi ada Roti Kukus. Ia adalah seperti pau tapi tiada inti. Kena pesan biji, maka saya pesan 4 biji. Tapi tak cukup.


Keseluruhannya makanan di sini ok cuma jika bagi pilihan saya lebih suka ke Kuala Selangor atau Kuala Langat. Harga pun mahal sikit. Tapi kalau malas ke sana dan ada duit sini, boleh dipertimbangkan untuk ke sini.

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: äää1/2; 
2. Persekitaran: ääää;
3. Perkhidmatan: äää1/2;
4. Harga: ää1/2;
5. Keseluruhan: äää3/4.


To read this article in English, click here.