Sunday, May 18, 2014

17 Mei 2014 - Kang Guan Restaurant, Teluk Panglima Garang (Pulau Carey) - Makanan Laut Cara Cina.

To read this article in English, click here.


17 Mei 2014 (Sabtu)

Hari ini, saya dan isteri terasa sudah lama kami tidak merasa makan ketam nipah. Tapi bila fikir balik, tidak juga. Kami baru sahaja makan semasa percutian kembara sekeluarga kami di Kota Kinabalu pada akhir Mac 2014 yang lepas. Tapi sebenarnya kami teringin makan di tempat selalu kami makan. Kami selalu makan makanan laut masak cara Cina di sini, di Teluk Panglima Garang, atau senang kami panggil Pulau Carey, kerana restoran ini terletak betul-betul sebelum jambatan ke Pulau Carey.


Kali terakhir kami makan di sini adalah sejurus sebelum kami berangkat menunaikan haji pada pertengahan September 2013. Di bawah ini adalah kedudukan Restoran Kang Guan di dalam Google Maps. Jadi kami ke sana bersama-sama anak-anak kami.


Lihat Kang Guan Restaurant dalam peta yang lebih besar 




Ada banyak jalan untuk ke sini dari KL. Jika dulu kami menggunakan Lebuhraya Persekutuan melalui bandar Klang, namun jalan ini seperti sedia maklum, jalannya agak sesak. Selain itu boleh juga melalui Lebuhraya Shah Alam E5 (KESAS), tapi tolnya agak mahal, dengan setiap plaza tol perlu bayar RM2.20. Terdapat 3 plaza tol jadi keseluruhannya RM6.60 pergi sahaja dan balik akan menjadi RM13.20!!! Lagipun perlu melalui jalan persekutuan 5 yang merentasi pekan Sijangkang dan Teluk Panglima Garang selain beberapa penempatan seperti Kampung Johan Setia serta beberapa simpang berlampu isyarat.


Alhamdulillah, setelah terbukanya Lebuhraya Lembah Klang Selatan E26 (SKVE) dua tahun lepas, maka perjalanan lebih mudah dan singkat. Dengan kadar tol cuma RM3.70 sehala (RM7.40 pergi balik) dari Plaza Tol Ayer Hitam (berhampiran Putrajaya, Sri Kembangan dan Puchong) ke Plaza Tol Teluk Panglima Garang ditambah tol Lebuhraya Sungai Besi E9 (Besraya), RM1.30 sehala (RM2.60 pergi balik) di Plaza Tol MINES, perjalanan lebih murah.



Tambahan pula, ia lebih dekat, apabila keluar lebuhraya SKVE di Teluk Panglima Garang, sudah hampir sampai ke destinasi. Cuma ambil kanan di simpang lampu trafik selepas Plaza Tol Teluk Panglima Garang iaitu ikut tanda arah Pulau Carey. Jangan ke kiri, kerana ia jalan persekutuan 5 ke Jenjarom seterusnya ke Banting dan ke Sepang dan Port Dickson.



Seterusnya dalam dua kilometer, akan berjumpa dengan papan tanda menyatakan di hadapan terdapat bulatan dan arah menunjukan Pulau Carey di pada tanda arah jam 9 iaitu ke kiri. Kalau ke kanan (tanda arah pukul 3) adalah ke Teluk Panglima Garang dan ke Klang, juga ke Lebuhraya Shah Alam E5. Jangan risau, di bulatan juga jelas terdapat papan tanda tunjuk arah ke Pulau Carey. Jadi ambil jalan ke kiri.



Setelah mengambil kiri, teruskan perjalanan sehingga kira-kira dua kilometer dan akan terjumpa simpang empat. Seperti yang ditunjukan pada papan tanda arah jalan, Pulau Carey adalah ke kanan. Sebenarnya ketika selepas mengambil ke kanan di simpang ini, perlu berhati-hati, jangan terlampau laju pula, kerana ia sudah hendak sampai ke destinasi.


Dalam kira-kira 300 meter, akan perasan akan tiba di sebuah jambatan. Jambatan ini adalah jambatan ke Pulau Carey.  Jalan susur ke Restoran Kang Guan ini terletak betul-betul sebelah kiri jalan sebelu jambatan ini. Di sebelah kanan pun ada restoran makanan laut cara masakan cina juga, cuma saya biasa dengan Restoran Kang Guan ini.


Hah, sudah sampai pun. Parkir kereta agak banyak dan mudah di sini. Malah apabila masa ramai pelanggan pun masih boleh parking, jangan risau. Masa kami datang, agak ramai juga sudah datang di Restoran ini. 

Masa perniagaan bagi restoran ini adalah seperti berikut:

Isnin hingga Jumaat
12:00 tengahari hingga 14:30 (2:30 petang)
18:00 (6:00 petang) hingga 22:00 (10:00 malam)

Sabtu
12:00 tengahari hingga 15:00 (3:00 petang)
18:00 (6:00 petang) hingga 22:00 (10:00 malam)

Ahad
12:00 tengahari hingga 15:00 (3:00 petang)
17:45 (5:45 petang) hingga 22:00 (10:00 malam).

Jika boleh, buat tempahan meja dahulu, dikhuatiri tiada meja nanti apabila sampai. Nombor telefon ada seperti di atas. Mengikut pengalaman, biasanya waktu makan tengahari, hidangan yang menjadi pilihan ramai seperti ketam nipah habis, di mana stok baru akan tiba pada jam 16:00 (4:00 petang) setiap hari. Itu sebabnya, saya biasa datang untuk makan malam.


Lagipun malam agak sejuk sedikit, jika tengahari agak panas jika duduk di ruangan angin terbuka. Saya suka duduk ruang angin terbuka kerana dapat menikmati permandangan Jambatan Pulau Carey, Sungai Langat dan Pulau Carey itu sendiri. Kalau waktu matahari terbenam, boleh lihat suasana yang tenang di sini. Di restoran ini, terdapat juga ruangan berhawa dingin.


Malah jika bernasib baik, jika mendapat meja di tepi sungai, dapat melihat ikan-ikan seperti ikan baung, memakan sisa-sisa makanan yang dibuang atau ikan-ikan ini berkumpul di tempat air paip sisa basuhan tangan pelanggan restoran. Masa kami hadir, meja tepi sungai telah penuh. Namun dapat juga lihat ketika kami ingin basuh tangan. Air Sungai Langat sedang pasang, kerana kawasan Pulau Carey ini sebenarnya berada di delta Sungai Langat & Sungai Klang. Sudah dekat sangat dengan laut.


Untuk kali ini, kami memesan ketam masak masam manis, roti ban buatan sendiri goreng, udang goreng nestum dan tahu jepun claypot. Macam biasa, jika di restoran cina, kami akan pesan minuman teh cina. Di restoran ini, tidak perlu pesan untuk berapa orang, pelayan akan tahu anggarkan masakan untuk berapa orang mengikut yang datang dan bilangan makanan. Cuma untuk ketam biasanya perlu ambil sekilogram sekurang-kurangnya.

Macam biasa, akan ada kacang dihidangkan sementara menunggu makanan sampai. Habis kacang ini dijajahi oleh anak perempuan saya yang berumur 2 tahun itu. Dia memang minat sangat dengan kacang-kacang ini. Kacang gajus yang saya beli di Hat Yai semasa kembara ke Ranong, Thailand dan Kawthoung, Myanmar dua minggu sebelum itu pun, dia yang habiskan... Huhuhu.

Teh pun sampai, bersama air milo ais khas untuk anak lelaki saya. Teh cina ini didatangkan dalam teko bersama sebesen air batu. Teh ini boleh dituang banyak kali sehingga habis dan boleh ditambah air panas untuk tambah minum lagi. Bagitu juga dengan aisnya.


Selepas setengah jam, walaupun orang ramai, makanan kami pun sampai. Saya meminta dua pinggan nasi untuk saya dan anak lelaki saya. Memang sedap. Memang dicadangkan agar mengambil udang goreng nestum kerana rasanya lemak manis. Lagi sedap dari udang goreng mentega. Saya memang sentiasa memesan udang goreng nestum ini kerana anak lelaki saya, peminat udang.


Untuk telur jepun claypot pun ok, cuma baru teringat, sepatutnta saya minta telur jepun sizzling, ia lebuh kurang telur jepun ladna, seperti yang biasa kami pesan. Tapi yang ini pun kira ok, cuma banyak sayur.


Ketam biasanya akan makan akhir sekali. Kali ini kami dapat tiga ekor ketam, tapi agak sedang saiznya. Memang sedap, dengan roti ban goreng dicecah dengan kuah masam manis. Maaf gambar roti ban goreng lupa nak tangkap, pasal ia sampai lambat, ketika tangan saya sudah kotor. Saya suka ketam nipah ini pasal biasanya isinya banyak dan padat, tidak mengecewakan, tidak seperti ketam bunga atau ketam harimau atau ketam lain, yang isinya ikut keadaan pasang surut dan fasa bulan. Lagi makan bahagian sepitnya yang besar, memang nikmat. 

Lagipun yang lagi seronok, masa menggunakan penukul untuk memecahkan kulit cengkerangnya. Harga pun agak murah berbanding tempat lain di sekitar Lembah Klang dengan pada masa ini kira-kira RM54.00 sekilogram (mahal sikit, biasa saya makan dalam RM40.00 ke RM50.00, mungkin luar musim).


Selepas hampir sejam makan, perut kami rasa amat kenyang. Semua hidangan habis kecuali ketam yang ada lagi setengah hidangan, maka kami mohon untuk bungkus. Nak masuk lagi sudah tidak larat, huhuhu.

Maka saya minta bil untuk bayaran. Dan, resitnya seperti di atas. Sebanyak RM107.00 dihabiskan... Hehehe... Kalau di tempat lain, lagi banyak kena bayar. Puas makan yang penting.


Akhirnya kami pun pulang setelah selesai. Kami amat cadangkan untuk ke sini, Memang puas hati. Untuk pengetahuan, restoran ini hanyalah pork free, tiada tanda halal. Memandangkan saya biasa makan di sini sejak kecil, maka tiada masalah bagi saya. Masa kami datang pun terdapat ramai orang Melayu makan di sini. Lagipun kedai ini hanya menghidangkan makanan lain dan daging rusa sahaja (pada masa kami datang, daging rusa tiada atau habis). Cuma kedai ini ada hidangkan beer, mungkin sebab itu tiada pengiktirafan halal (kes ini serupa dengan majoriti hotel di Malaysia.

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää; 
2. Persekitaran: äää 1/2;
3. Perkhidmatan: äää 1/2;
4. Harga: ääää1/4;
5. Keseluruhan: ääää.


Selamat menjamu selera. Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.

To read this article in English, click here.

2 comments:

  1. sekarang 2019. bila kali terakhir tuan pergi ke sini?

    ReplyDelete
  2. Halal ke?cnfirm halal?dah sah² kedai cina..kawan sy ddk pulau carey bgtau kdai tu ade masak katak..arak pun ada...xkan sb xde masak babi terus kata halal???

    ReplyDelete