Wednesday, January 27, 2016

25 Januari 2016 - Restoran Port Village, Pelabuhan Klang, Selangor - Makanan Laut Cara Cina.

To read this article in English, click here.

Papan tanda restoran.



25 Januari 2016 (Isnin)


Restoran Port Village
LMS A 12800
Tanjung Harapan
42000 Pelabuhan Klang
SELANGOR

Rupanya sudah sembilan tahun usia perkahwinan saya dengan isteri saya. Memang setiap tahun saya sentiasa teringat tarikh dan mengucapkan selamat ulang tahun kepada isteri saya, namun bukan setiap tahun kami memberi hadiah atau menyambutnya secara langsung.


Jadi pada tahun ini, saya mengambil keputusan untuk menyambut bersama. Kebetulan hari ulang tahun kami, 25 Januari, merupakan juga hari cuti umum bagi tahun 2016, iaitu hari Thaipusam. Jadi kami berdua, dengan meninggalkan anak-anak kami di rumah bersama ibu saya, ke Klang untuk makan tengahari bersama.

Peta: Kedudukan Restoran Port Village, Pelabuhan Klang.

Kami ke Pelabuhan Klang atau lebih tepat, Tanjung Harapan untuk makan makanan lain cara Cina. Kali ini kami ke 
Restoran Port Village pula. Ini pertama kali kami makan di sini.

Kad perniagaan Restoran Port Village.

Memandangkan saya jangkakan jalan tidak berapa sesak, maka saya mengikut laluan Lebuhraya Persekutuan ke Klang, kemudian ke Tanjung Harapan melalui pekan Pelabuhan Klang, kerana bagi saya jalan ini kurang lampu isyarat dan lebih dekat juga kurang tol, berbanding mengikut Meru dan Lebuhraya Grandpadu (dahulu Lebuhraya Shahpadu) atau melalui Rantau Panjang.

Jalan masuk ke restoran dari 
Lingkaran Sultan Hishamuddin (Tanjung Harapan), Pelabuhan Klang

Apabila sampai di simpang tiga Tanjung Harapan dan Bandar Sultan Suleiman, iaitu di kawasan Restoran Makanan Laut Bagan (bukan restoran ini ya), kami membelok ke kiri. Tidak berapa jauh akan nampak pandangan seperti gambar di atas di sebelah kanan jalan. Jadi masuk ke denai yang ada untuk kawasan parkir restoran. Kawasan parkirnya agak luas juga.

Papan tanda selamat datang dari lapangan parkir kereta.

Papan tanda waktu perniagaan restoran.

Waktu perniagaan restoran ini adalah 11:45 pagi ke 3:00 petang dan 5:30 petang ke 11:00 malam untuk hari Isnin ke Jumaat. Hari Sabtu dan Ahad pula, ia dibuka tanpa henti dari 11:45 pagi ke 11:00 malam.

Lorong berbumbung ke restoran.

Seterusnya setelah memarkirkan kereta, kami menuju ke lorong yang berbumbung untuk ke restoran. Sekurang-kurangnya dapat melindungi kami dari sinar panas sang mentari.

Paya bakau di sekeliling restoran.

Dalam berjalan di lorong berbumbung, kami dapat melihat pokok bakau di sekeliling restoran ini, menunjukan restoran ini didirikan di kawasan paya bakau. Oleh kerana ketika ini, laut dalam keadaan air surut, jadi tidak nampak restoran ini terapung. Agaknya bila air pasang, memang nampak restoran ini terapung.

Surau di pintu masuk restoran.

Sejurus sebelum pintu masuk, kami terjumpa surau untuk kemudahan pekerja dan pengunjung restoran ini.

Akuarium ikan hidup.

Disamping itu, akuarium-akuarium yang berisi ikan-ikan dan hidupan-hidupan laut yang lain yang masih hidup, terdapat di pintu masuk restoran. Memang makanan-makanan laut di restoran ini menggunakan hidupan laun yang amat segar. Masih hidup sebelum dimasak.

Pintu masuk restoran.

Permandangan Selat Klang dari restoran.

Alhamdulillah, ketika ini orang tidak berapa ramai, mungkin kerana waktu tengahari dan di hari cuti umum pula. Mungkin pada waktu makan malam, restoran ini penuh agaknya. Kami memilih untuk duduk di tepi laut menghadap Selat Klang.

Pelabuhan Klang Selatan & sebahagian Pulau Indah dari restoran.

Di meja kami,  kami dapat melihat suasana Selat Klang. Terdapat banyak tongkang-tongkang dan kapal-kapal kecil berlabuh. Kami juga dapat melihat bot feri ke dan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang Selatan sedang belayar di depan kami. Amat jelas juga kelihatan adalah Pelabuhan Klang Selatan. Oleh kerana keadaan air surut, maka dapat juga melihat ketam kecil dan ikan belacak di selut yang ada di bawah pelantar restoran.

Selat Klang yang sedang surut.

Suasana di restoran.

Ruang berhawa dingin di restoran ini.

Di restoran ini, terdapat juga ruang berhawa dingin. Tapi kami memilih duduk di ruang tanpa hawa dingin, kerana ruang berhawa dingin ini berada di dalam restoran, tidak menghadap Selat Klang.

Menu restoran ini.

Pelayan restoran yang agak mesra, datang untuk memberikan kami menu untuk kami pesan. Jadi kami memesan:


  1. Tahu telur sizzling;
  2. Pucuk keledek digoreng dengan bawang putih;
  3. (hidangan utama) Ketam Nipah Masam Manis;
  4. Man Tao (Roti goreng);
  5. Nasi;
  6. Teh Cina - satu teko.


Seteko teh Cina dan kacang.

Sementara menunggu makanan, kami diberikan kacang untuk kudapan dan pada masa sama, teh cina kami pun sampai bersama air satu baldi kecil.

Tahu telur sizzling dan pucuk keledek goreng bawang putih.

Agak cepat juga hidangan pertama kami sampai iaitu tahu telur dan pucuk keledek. Tidak sampai lima minit. Jadi kami makan dulu bersama nasi sebelum hidangan tersebut sejuk. Kedua-dua hidangan ini agak sesuai rasanya. Amat sesuai. Tahu telur sizzling ini juga tidak berapa banyak sayur, jadi tidaklah rasa kesayuran sangat. Sampai licin juga semua hidangan ini kami habiskan.

Ketam nipah masak masam manis.

Mungkin kerana kami belum bersarapan pagi, maka agak cepat juga kami habis makan. Dalam masa sepuluh minit sahaja. Macam memang bagus sahaja permasaan (timing), pada masa itu juga, hidangan utama kami, ketam nipah masak masam manis pun sampai. Memang kami hendak makan asing atau meratah ketam ini. Baru puas (itu sebabnya pun kami tidak membawa anak-anak kami, kerana lebih fokus, barulah puas makan). Terdapat dua ekor ketam diberikan kepada kami. Paling bagus, terdapat satu sepit yang agak besar. Isi ketam pun padat (itu sebab saya suka makan ketam nipah, pasal isinya tidak tertakluk kepada fasa bulan) dan segar. Memang puas.

Man tou atau roti goreng.

Sambil-sambil itu, kami mencecah man tou yang ada dengan kuah masam manis. Isteri saya kata kuah ini manis, tetapi bagi saya, ia amat sesuai. Sampai saya meminta tambah lagi man tou untuk cecah kuah ini. Ia agak pekat juga. Kuah yang ada pun agak banyak, sampai ketam dua ekor habis, kuah tidak habis lagi. Jadi  kuang yang tinggal, kami bungkus bawa pulang.

Wefie "makan" ketam.

Resit makan tengahari kami di restoran ini.

Memang makan di sini agak baik juga, walaupun harganya terutama ketamnya agak tinggi sikit berbanding di Kuala Selangor atau Banting. Tapi ia lebih dekat dengan tempat tinggal kami di Kuala Lumpur, di samping permandangan Pelabuhan Klang. Insya Allah, akan datang lagi ke sini.  Memang berbaloi demi hari ulang perkahwinan kami. Satu memori yang terindah.

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää1/2; 
2. Persekitaran: äää1/2;
3. Perkhidmatan: ääää1/2;
4. Harga: äää1/2;
5. Keseluruhan: ääää.



To read this article in English, click here.

No comments:

Post a Comment