Monday, September 21, 2015

20 September 2015 - Warong Mee Udang Banjir, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Selangor - Mee Udang.

To read this article in English, click here.




20 September 2015 (Ahad)

Warong Mee Udang Banjir Tanjung Karang
Kampung Tengah
45500 Tanjung Karang
SELANGOR

Pada tengahari hari tersebut, saya dan keluarga pulang ke kampung isteri di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, untuk menghantar anak-anak kami bagi merasa tinggal di kampung bersama datuk dan nenek mereka.




Oleh kerana belum makan tengahari lagi, kami mengambil keputusan untuk makan di Warong Mee Udang Banjir Tanjung Karang. Sudah lama tidak singgah makan di sini. Jalan-jalan Cari Makan TV3 dan pelbagai rancangan berkaitan makanan di televisyen telah membuat liputannya di sini.


Untuk ke sini, jika kita dari Kuala Lumpur atau Klang atau Bestari Jaya (Unisel) perlu menempuh pekan Tanjung Karang dahulu. Teruskan sehingga melepasi pekan Tanjung Karang. Teruskan perjalanan sehingga kira-kira 5 kilometer, kita akan dapat melihat papan tanda di atas bahu jalan di sebelah kiri berwarna kuning bertulisan merah seperti gambar di atas, bermakna warong ini dibuka. Hendak jelas lagi, terdapat papan tanda lebih besar di belakangnya berwarna putih bertulisan merah.


Jika dari arah Sabak Bernam, teruskan sehingga melepasi Sungai Burong dan simpang Sungai Sirih - Bagan Tengkorak. Kira-kira dekat-dekat 1 kilometer dari simpang tersebut, kita akan dapat melihat Masjid Janatul Hasanah, Kampung Tengah, Tanjung Karang. Warungnya di sebelah masjid tersebut.

Sekarang, terdapat ruang parkir kereta yang disediakan di antara warung ini dan masjid. 



Orang agak ramai juga di sini. Memang tidak putus. Memang ramai peminat. Terdapat televisyen untuk hiburan. Itu sahaja, Tidak WiFi ye, huhuhu. Namun di sini liputan 3G malah LTE boleh didapati tidak kira syarikat mana yang dilanggani.


Harga agak berpatutan juga, cuma agak naik sikit berbanding kali terakhir kami datang ke sini. Harga untuk mee bandung udang dan mee udang banjir adalah RM9.00 (pernah dahulu kami makan dalam RM5.00 sahaja, tapi biasalah sekarang ini harga barang dah naik). Untuk nasi goreng udang dan mee goreng udang, harganya RM7.00. Terdapat sup tulang, sup kaki ayam dan soto dijual. Boleh lihat menu di atas (maaf gambar tidak tajam).

Kami memesan mee udang banjir, nasi goreng udang dan set sup kaki ayam bersama nasi dan telur dadar. Minuman kami biasa-biasa sahaja (air kosong & teh o ais limau). Perkhidmatan yang diberikan agak lambat juga terutama minuman. Malah makanan sampai dahulu baru minuman sampai, walaupun air kosong!


Sampalah makanan kami, kualiti dan rasa masih sama (maaf, untuk makanan selain mee udang saya lupa untuk mengambilnya). Tidak hairanlah pelanggan makin ramai ke sini.

Cuma bilangan udang sudah sikit, iaitu empat ekor saiz sederhana besar. Tapi kira oklah kali ini. Saiz mangkuk pun seperti lebih kecil. Jadi walaupun rasanya sedap, tapi rasa tidak puas. Boleh sahaja hendak ambil mee udang banjir special tetapi harganya hampir dua kali ganda (RM17.00).

Alhamdulillah, kenyang juga, itulah rezeki kami kali ini.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää; 
2. Persekitaran: ää1/2;;
3. Perkhidmatan: ää1/2;
4. Harga: ää1/2;;
5. Keseluruhan: ää9/10.


To read this article in English, click here.

Sunday, September 6, 2015

05 September 2015 - Restoran Kim Hoe, Pulau Ketam, Klang, Selangor - Makanan Laut Cara Cina.

To read this article in English, click here.




05 September 2015 (Sabtu)

Restoran Kim Hoe
28K Jalan Besar Pekan, 
42940 Pulau Ketam
Klang, Selangor

Pada hari tersebut sebenarnya saya sedang bersiar-siar di Pulau Ketam, kerana sudah lama saya ingin ke situ. Kiranya, dalam keseluruhan tempat yang terkenal di Lembah Klang, saya belum sampai lagi ke Pulau Ketam. Tahun ini, saya selalu menaiki kapal terbang dan selalu melihat Pulau Ketam dari udara. Jadi tercapailah hasrat saya. Untuk cerita lanjut dan lengkap, boleh layari blog kembara saya, KembaraGD, di dalam coretan 05 September 2015 - Pulau Ketam, Klang, Selangor, Malaysia -  Bercuti Bersama Keluarga (Misi Menjejaki "Daerah" Terasing Lembah Klang).



Untuk ke Pulau Ketam, perlu ke jeti botnya di Pelabuhan Klang Selatan, tidak jauh dari pekan Pelabuhan Klang. Boleh rujuk coretannya di KembaraGD atau lihat peta di atas. Inilah cara untuk ke sana, selain menaiki helikopter.


Kemudian perlu menaiki bot, sama ada feri yang berharga RM7 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak 5 hingga 12 tahun. Atau menaiki bot laju berharga RM10 setiap orang. Perjalanan mengambil masa 30 ke 45 minit.


Sampai sahaja jeti utama di Pulau Ketam, jalan terus sehingga menjumpai Balai Polis di sebelah kanan. Selepas balai polis, anda akan menjumpai simpang jalan, sila ambil jalan di sebelah kiri.


Sebenarnya, ketika ini anda telah sampai di pekan Pulau Ketam. Terdapat penjaja yang menjual telur dadar tiram (oyster ommelete atau o-chien). Restoran Kim Hoe terletak di sebelah kiri anda.


Sebenarnya terdapat satu lagi restoran makanan laut bersetentangan kedai tersebut, bernama Restoran Ingatku (Remember Me Restaurant), tetapi kami ke Restoran Kim Hoe kerana pemasarannya lebih baik. Dengan pelayan lebih ramah menyapa, mereka juga lebih muda, huhuhu. Terperangkap kami.


Terdapat ketam nipah kegemaran kami yang masih hidup dan besar. Selain itu hidangan makanan laut segar yang lain seperti udang, sotong, pepahat, ikan dan sebagainya. Jadi macam biasa kami meminta ketam nipah masak masam manis dan udang goreng mentega. Minum dengan air teh cina sahaja. Asalnya kami meminta roti goreng tetapi tiada stok ketika itu. Ketam dipesan sekurang-kurangnya dua ekor, nampak saya tidak boleh berbelanja murah kerana ketam-ketamnya besar, jika dua ekor, mahu lebih sekilogram! Itu sebab saya memesan dua hidangan sahaja.


Khidmat yang baik dan pantas, dalam masa 15 minit, hidangan kami sampai, walaupun orang agak ramai. Dari segi rasa, agak baik, lebih sedap dari Restoran River View &-Restoran Jeti di Permatang Pasir, Kuala Selangor, tapi pada tekak saya saya tidak boleh kalahkan Restoran Kang Guan di Pulau Carey.


Gambar di atas adalah kegemaran saya, mengetuk kulit ketam. Sebenarnya yang perlu menggunakan pengetuk adalah sepitnya sahaja. Isinya agak banyak, sebab itu saya suka makan ketam nipah. Isinya tidak dipengaruhi fasa bulan.


Akhirnya, inilah bil yang kami terima. Agak mahal, malah lebih mahal dari harga Restoran Hokaido di Kuala Lumpur. Tidak mengapalah, bukan selalu ke Pulau Ketam.

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää; 
2. Persekitaran: äää1/2;
3. Perkhidmatan: ääää;
4. Harga: ää;
5. Keseluruhan: äää2/5.


To read this article in English, click here.

Friday, August 28, 2015

22 Ogos 2015 - Asam Pedas Pak Man, Ujong Pasir, Melaka - Asam Pedas.

To read this article in English, click here.



22 Ogos 2015 (Sabtu)

Asam Pedas Pak Man 
(Perhentian Kuih Kampong)
202 Ujong Pasir
75050 Melaka


Pada 22 Ogos 2015 iaitu hari Sabtu, saya dan keluarga datang ke Melaka untuk mengadiri majlis makan malam keluarga bagi pejabat saya yang diadakan di Bayou Lagoon Park Resort, Bukit Katil, Melaka. Kami sampai untuk daftar masuk pada pukul 1:30 tengahari namun pendaftaran bilik belum dibuka sehingga pukul 2:30 petang. Makan tengahari juga tidak disediakan. Maka alang-alang sudah sampai di Melaka, maka saya teringatkan asam pedas.


Kebiasaan asam pedas yang kami makan hanya dibuka pada waktu malam seperti Asam Pedas Claypot (yang terbaik), Asam Pedas Bawah Pokok, Asam Pedas Kak Mona (ketiga-tiga di Kota Laksamana, Melaka) dan Asam Pedas Pasar Borong (di Bachang, Melaka). Jadi kami meng"google" untuk mencari kedai yang menjual pada waktu tengahari. Antara yang teratas ratingnya adalah Asam Pedas Pak Man di Ujong Pasir.


Tidak susah mencari, dan kena pula jalan yang diambil tidak sesak sangat (kerana saya agak biasa jalan-jalan di Melaka ini). Jalannya agak selalu lalu, tapi saya tidak perasan pula kedai ini. Kedudukan kedai ini tidak jauh dari Kampung Portugis di Ujong Pasir dan Muzium Penjara di Bukit Senjuang. Rupanya papan tanda kedai ini menyatakan "Perhentan Kuih Kampong". Padanlah tidak nampak.




Terdapat banyak pilihan asam pedas, seperti ikan kembung, pari, jenahak, sembilang, tenggiri, tetel (daging) dan sebagainya. Harga pun berpatutan, dengan kedudukannya dekat dengan kawasan Bandar Hilir/Melaka Raya. Jadi kalau hendak ke tempat menarik, memang dekat (dengan berkereta).

Selain asam pedas, terdapat makanan panas lain juga seperti nasi goreng, mee goreng, tom yam dan sebagainya. Jika tidak mahu makan nasi putih sahaja, ada pilihan lain.


Jika membawa anak-anak, terdapat juga stesen menjual makanan goreng seperti nugget, bebola makanan laut, keropok lekor dan sebagainya. Namun perlu bayar asing dengan kedai utama. di sini juga dijual pau dan kerepek dalam balang.


Walaupun pada waktu tengahari, namun kuih-muih juga dijual sejak pagi lagi. Kuih-muih disini juga banyak pilihan dan harganya berpatutan. Kuih-muih ini boleh dibayar bersama di kaunter bayaran kedai utama kerana pemilik yang sama. 

Jika perasan di belakang kaunter kuih-muih ini terdapat plak "Jalan-jalan Cari Makan" TV3, jadi memang kedai ini agak popular jugalah.


Selain asam pedas, dikhabarkan nasi ayam juga adalah antara signature dish di kedai ini. Ramai yang kata nasi ayamnya sedap. Cuma saya tidak mencubanya, kerana saya hendak rasa asam pedas, al-maklumlah, "Hantu Asam Pedas"!


Hah, sudah sampai pun  hidangan kami. Saya memesan satu set ikan tenggiri (badan), satu set ikan pari, sup kosong (ada bebola ikan di dalamnya), kailan ikan masin, telur dadar dan 2 set nasi putih serta set ulam & sambal belacan. Set asam pedas didatangkan dengan set nasi putih yang ada telur masin dan timun.

Sambal belacan memang meletop, dengan dicicah timun atau ulam lain (iaitu ulam selom, tenggek burung dan pucuk gajus). Sup kosong (untuk anak-anak saya), memang sedap, mengingatkan saya makan nasi ayam hainan Melaka atau bebola nasi ayam Melaka.

Bagi set asam pedas ikan tenggiri badan, berharga RM8.50 dan set asam pedas pari pula RM7.50.


Asam pedasnya tidak boleh kata apa, memang antara terbaik bagi saya. Asalnya saya meminta asam pedas tetel, namun ia telah habis. Namun sebelum ia balik, saya nampak ia dipesan oleh salah seorang pelanggan lain yang duduk di sebelah kami. Saya pun pesanlah asam pedas tetel tanpa set nasi yang berharga RM6.00 (jika set sila tambah RM1.50) untuk dibawa pulang.

Memang sedap sehingga tiada setitik kuah asam pedas ditinggalkan (kecuali asam pedas tetel yang dibawa balik). Memang kedai ini boleh dikunjungi lagi pada masa akan datang.

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (ääää)): 

1. Makanan: ääää1/2;

2. Persekitaran: äää3/4;

3. Perkhidmatan: ääää;

4. Harga: äää1/2;

5. Keseluruhan: ääää.

To read this article in English, click here.

Monday, March 16, 2015

15 Mac 2015 - Restoran Go'Bang Maju, Sri Rampai, Kuala Lumpur - Masakan Melayu (Gulai Patin Tempoyak Temerloh).

To read this article in English, click here.



15 Mac 2015 (Ahad)

Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Termerloh
No. 19, Jalan Sri Rejang 1
Taman Sri Rampai
55100 Kuala Lumpur

Sewaktu saya sedang berkursus di Sungai Petani, Kedah, pada satu pagi, ketika bersarapan pagi, saya menonton program Malaysia Hari Ini (MHI) di saluran TV3. Paparannya ketika itu adalah sebuah restoran ikan patin masak tempoyak di Kuala Lumpur. Kedudukan restoran ini tidak berapa jauh dari kediaman saya maka, saya berfikir, mungkin ketika saya pulang ke Kuala Lumpur, saya akan pergi ke restoran ini.


Jadi pada tengahari Ahad, selepas saya selesai berurusan mengenai perniagaan, kebetulan isteri dan anak lelaki saya baru pulang dari perlawanan bolasepak, kami mencari restoran ini. Akhirnya jumpa, agak sukar sedikit, kerana ia bukan terletak di lot yang mudah lihat dari jalan besar.



Bilangan kereta di hadapan restoran ini, amat banyak, menandakan memang ramai penggemar ikan patin tempoyak ala Temerloh ini. Sebenarnya, restoran ini merupakan cawangan bagi restoran asal Restoran Go'Bang Maju yang terletak di kawasan bawah jambatan Temerloh iaitu di jalan menuju ke Triang. Jadi dikatakan kualitinya lebih kurang sahaja.

 

Orang yang makan ketika kami sampai sebenarnya amat ramai juga. Boleh katakan hampir tiada meja kosong. Jika ada pun, meja yang telah ditempah. Namun kami bernasib baik kerana ketika kami masuk sahaja restoran, kebetulan sebuah meja baru sahaja dibersihkan dan terus kami duduk di kerusi yang ada di meja tersebut.


Kami seterusnya ke kaunter untuk mengambil nasi. Nasi yang diberikan adalah berserta ulam timun, daun salad dan sedikit ricikan kobis ungu bersama sambal belacan serta telur masin. Terdapat lauk-lauk lain yang boleh dipilih di atas kaunter tersebut seperti asam pedas, ikan goreng dan sebagainya, kami cuma ambil telur dadar sahaja. 

Ini kerana tujuan kami adalah gulai tempoyak ikan patin ala Temerloh yang panas-panas. Ia boleh diperolehi selepas kaunter lauk-lauk terebut. Kami memilih semangkuk gulai dengan kepala patin (untuk saya) dan semangkuk lagi bersama ekor untuk isteri saya. Ia diangkat terus dari periuk besar yang masih panas. Semasa kuah gulai dituang ke dalam mangkuk, dalam hati saya mahu sahaja meleleh sahaja air liur tetapi tidaklah boleh dibuat secara fizikal. 


Semasa membawa dua mangkuk gulai tempoyak ikan patin ini, harumannya cukup menggoda. Saya terasa langkah saya laju sahaja untuk segera ke meja untuk menjamahnya. Hhhmmmm. Harga bagi semangkuk gulai tempoyak kepala ikan patin adlaah RM13.00/potong, manakala bagi badan atau ekor pula adalah RM15.00/potong.

Namun tidak lengkap jika makan ikan patin ini tanpa ulam-ulaman. Jadi saya ke kaunter ulam-ulaman dan buah-buahan untuk melengkapi makanan kami. Ternampak pula ada budu berdekatan dengan ulam-ulaman, bermakna, kemungkinan besar saya kurang menyentuh sambal belacan yang ada, kerana bagi saya makan ulam dengan budu adalah pelengkap gulai tempoyak ikan patin. Budu dan gulai tempoyak adalah pasangan serasi, maaf ye sambal belacan, awak kurang serasi dengan rasa gulai tempoyak, huhuhu.


Terdapat juga kaunter ikan patin bakar dan ikan patin pais, cuma hidangan tersebut bukan fokus kami pada hari ini. Insya Allah di lain masa.



Antara dekorasi di dinding restoran.


Di restoran ini juga disediakan surau untuk para pekerja dan para pelanggan menunaikan kewajipan semasa di restoran ini. Langkah yang amat baik sekali.


Terdapat juga air yang menjadi minuman rasmi tapi tidak wajib jika ke Temerloh iaitu air jagung special. Juga terdapat air bandung special yang boleh dipesan di kaunter minuman. Kami mengambil air kosong/suam sahaja yang free flow. Bukan apa, saya tidak terasa hendak minum air jagung, lagipun tekak saya mulai hendak merasa batuk, jadi perlu kurangkan pengambilan air. Jika tidak, air jagung adalah pilihan saya. Harga air jagung special dan bandung special adalah RM5.00 segelas.



Hidangan sudah lengkap, apa lagi, masa untuk memangsakan hidangan yang telah diambil. 


Memang tidak cukup kuah yang diberi, masing-masing kami minta tambah kuah. Kuahnya memang pekat, sedap cuma agak pedas. Sesuai dihirup dan dicampur bersama nasi. Hasilnya adalah seperti di bawah.


Bagi saya, bagus juga adanya restoran ini, kerana kita tidak perlu lagi memandu atau pergi ke Temerloh untuk menikmati hidangan ini. Jadi jimat masa, petrol dan juga tidak perlu membayar banyak untuk tol. Rasanya pun hampir sama dengan restorannya di Temerloh, cuma harganya agak mahal sedikit sahaja.


Jadi di atas adalah resit jumlah kemusnahan yang telah dialami oleh kami. Kemusnahan yang berbaloi. Insya Allah akan datang lain di lain masa. 

Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (ääää)): 

1. Makanan: ääää1/4;

2. Persekitaran: äää3/4;

3. Perkhidmatan: ääää1/4;

4. Harga: äää1/2;

5. Keseluruhan: ääää.



To read this article in English, click here.

Friday, February 27, 2015

27 Februari 2015 - Restoran Noor, Selangor Mansion (Jalan Masjid India), Kuala Lumpur - Nasi Kandar.

To read this article in English, click here.



27 Februari 2015 (Jumaat)


Restoran Noor
Tingkat Bawah, Selangor Mansion
Lorong Bonus Satu off Jalan Masjid India,
Kuala Lumpur


Hari ini, sebelum solat Jumaat, saya terasa hendak makan nasi kandar. Sebenarnya, di sekitar kawasan Medan MARA, terdapat banyak restoran-restoran nasi kandar seperti Nasi Kandar Kudu, Restoran Yasin, Sitique Nasi Kandar dan Restoran Ibrahim Shah. Semua popular. Insya Allah saya akan coretkan restoran-restoran itu pada masa akan datang.


Namun untuk kali ini, saya akan berkongsi pengalaman pekena nasi kandar yang mungkin tidak ramai yang ketahui, tetapi rasanya memang mantap. Restoran Noor, terletak di bawah rumah pangsa Selangor Mansion yang terletak di Jalan Masjid India. Namun restoran (atau sebenarnya kedai sahaja) lebih tepat berada di Lorong Bonus Satu yang sejajar dengan Sungai Kelang. Pada gambar di atas, restoran ini terletak di dalam tirai Milo dan Nescafe.


Restoran ini sebenarnya terletak di lorong masuk ke rumah pangsa Selangor Mansion ini. Memang ringkas sahaja restoran ini. Tapi rasa nasi kandarnya serta nasi briyaninya memang sedap. Terdapat ayam, ikan, kambing dan yang paling istimewa, ITIK. Mana ada restoran lain tawarkan kari itik.


Singgahan saya kali ini, saya tidak mengambil itik, tapi saya mengambil kari kambing sebagai lauk bagi nasi putih. Buat masa ini, saya tidak ingin makan nasi briyani, tapi insya Allah di lain masa.


Harganya pun berpatutan, dengan hanya RM7.50 bagi nasi putih bersama sayur taugeh dan kari kambing bersama air kosong. Nasi putih saya meminta kuah campur. Perkhh, terbaik.


Jangan lupa meminta sup rasam untuk di makan bersama, ia percuma sahaja. Juga, acar limau sebagai penambah selera, perlu diminta, ia juga adalah percuma. Bagi saya acar limaunya terbaik di Kuala Lumpur. Kalah juga kedai daun pisang India, serius memang terbaik acar limaunya.


Di bawah ini adalah gambar senarai harga bagi hidangan di Restoran Noor Selangor Mansion ini. Insya Allah akan datang lagi.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (ääää)): 

1. Makanan: ääää; 

2. Persekitaran: ää1/2;

3. Perkhidmatan: ääää;

4. Harga: ääää;

5. Keseluruhan: äää3/5.



To read this article in English, click here.