Tuesday, October 6, 2015

03 Oktober 2015 - Restoran Ratha, Raub, Pahang - Kari Kepala Ikan.

To read this article in English, click here.



03 Oktober 2015 (Sabtu)

Restoran Ratha
82, Jalan Tun Razak
27500 Raub, PAHANG

Saya dan keluarga di dalam perjalanan pulang dari Narathiwat, Thailand untuk menziarahi saudara di sana. Setelah makan tengahari pada pukul 11:00 pagi waktu Thailand (12:00 tengahari waktu Malaysia), maka ketika Benta, Kuala Lipis, Pahang pada pukul 6:00 petang, perut saya memanggil-manggil untuk diisi. Jadi saya bertanya kepada isteri saya, "di mana kita mahu makan malam?". Dia membalas, "terpulang".


Pandangan hadapan Restoran Ratha Raub.

Jadi teringat sahabat saya, Raja Razlan Shah, yang kampung isterinya di Kuala Krai, Kelantan, pernah membuat posting di Facebook, terdapat satu restoran kari kepala ikan yang sedap di bandar Raub. Jadi sampai di bandar Raub, saya pun mencari restoran ini.


Peta kedudukan Restoran Ratha Raub.

Tidak susah rupanya mencari restoran ini, restorannya betul-betul di di hujung bangunan-bangunan lama zaman British di tengah-tengah bandar Raub. Jika dari Kuala Lumpur/Bentong, ia adalah kedai pertama akan dijumpai, ketika membelok ke kiri semasa memasuki bandar Raub. Jika dari Kota Bharu/Kuala Lipis, maka jalan terus sehingga hujung bangunan lama tersebut. Kami pun memakirkan kereta kami lot parkir di seberang jalan.

Dalaman Restoran Ratha Raub.

Restorannya biasa-biasa sahaja seperti restoran makanan mamak yang lain. Jadi kami duduk di meja yang ada. Ketika kami di restoran itu, terdapat beberapa orang di sana walaupun ketika itu bukan waktu puncak (waktu senja).

Kaunter makanan dan senarai menu di Restoran Ratha Raub.

Terdapat banyak juga artikel surat khabar dan majalah mengenai restoran ini digantung di dinding restoran ini. Terdapat juga orang-orang kenamaan antaranya Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, pemimpin-pemimpin negara dan negeri serta artis-artis yang terpampang di dinding. Malah terdapat juga tanda daripada rancangan makanan terkenal di televisyen seperti "Best In The World" daripada 8TV tergantung. Memang popular restoran ini.


Antara pencapaian Restoran Ratha Raub.

Rupanya restoran ini juga terdapat banyak cawangan selain restoran utamanya di Raub. Antara cawangannya terdapat di Genting Highlands, Pahang dan juga terdapat di Lembah Klang juga iaitu di Damansara Utama (Uptown), Petaling Jaya, Selangor.

Lagi pencapaian Restoran Ratha Raub.

Menu yang ada di restoran ini memang banyak yang istimewa, namun saya memesan hidangan istimewa utamanya iaitu kari kepala ikan selain sayur kobis. Kari kepala ikan boleh dipilih dari kecil (untuk dua orang makan katanya, tapi kalau bukan kaki makan, mahu empat orang juga) yang berharga RM45 untuk makan di situ atau RM48 untuk bawa pulang. Terdapat juga saiz sederhana (RM55/RM58) dan besar (RM65/68). Ikan juga boleh dipilih, saya memilih ikan kerapu kerana ikan merah sudah habis (untuk ikan merah, harga berlainan, bayar lebih sikit).

Kari Kepala Ikan, sayur dan nasi Restoran Ratha Raub.

Tidak lama juga menunggu, kurang dari lima minit, sampailah makanan yang kami pesan. Menariknya, kari kepala ikan dihidang dengan lilin yang mengekalkan kepanasannya. Di dalam karinya terdapat juga terung, kobis dan kacang bendi, jadi di lain masa, kami tidak perlu memesan sayur lagi. Terdapat juga tahu span (taufu fook) di dalam kari tersebut. 

Rasa kari tersebut, memang terbaik! Bagi saya, ia adalah kari kepala ikan terbaik di luar Kuala Lumpur (saya belum pernah makan kari kepala ikan di India kerana tidak pernah jumpa di sana). Sampai tambah nasi dua pinggan lagi, kerana karinya memang banyak dan pekat pula itu. Hidanganya pun panas, sampai beberapa kali kami tidak boleh ambil isi ikan. TERBAIK.

Tinggalan dari makanan.

Jadi dengan khusyuk kami makan, termasuk anak perempuan saya, tapi kena hisap dulu isi ikannya. Anak lelaki saya tiada selera pula untuk makan, jadi kami bungkus nasi dan ayam goreng berempah untuk dia. Akhirnya selepas lebih 40 minit kami menikmati hidangan, kami pun selesai, dan gambar di atas adalah buktinya.

Resit

Bagi saya, ia agak berbaloi dengan harganya berbanding dengan sebuah restoran kari kepala ikan di kawasan Kampung Pandan yang agak mahal, dan karinya "kureng" sikit.

Memang saya mengesyorkan kari kepala ikan di restoran ini, dan insya Allah kami tidak akan lalu sahaja di bandar Raub ini, rupanya Raub ada banyak tarikan makanan sedap-sedap.
Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää1/4; 
2. Persekitaran: äää3/4;
3. Perkhidmatan: äää3/4;
4. Harga: äää3/4;
5. Keseluruhan: äää9/10.


To read this article in English, click here.

Saturday, September 26, 2015

24 September 2015 - Jaiton Laksa Pantai, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor - Mee Udang.

To read this article in English, click here.




24 September 2015 (Khamis)

Jaiton Laksa Pantai
Pantai Bagan Nakhoda Omar
Jalan Satu Pantai BNO
42500 Sabak Bernam
SELANGOR

Saya sudah lama tidak ke pantai Bagan Nakhoda Omar atau lebih popular dikenali sebagai BNO. Rasa dekat 4 tahun lebih juga. Jadi pada Hari Raya Aidiladha 1436H lepas, saya dan isteri pulang ke kampung isteri saya bagi beraya dan mengambil anak-anak kami yang ditinggalkan di sana sempena cuti sekolah.


Untuk ke sana, perlu mengambil Jalan Persekutuan 5, Jalan Klang - Teluk Intan. Jika dari selatan iaitu dari Kuala Lumpur atau Klang, akan melalui pekan Tanjung Karang, Sekinchan dan Sungai Besar. Teruskan sehingga berjumpa dengan simpang lampu isyarat ke Sungai Air Tawar, kira-kira 5 kilometer dari pekan Sungai Besar, kemudian belok ke kiri. 

Jika dari utara pula iaitu dari Teluk Intan, pastikan melepasi pekan Sabak Bernam dan teruskan ke simpang lampu isyarat ke Sungai Air Tawar, kira-kira  dan belok ke kanan.


Teruskan perjalanan sehingga 10 kilometer, dan kita akan nampak papan tanda ke Pantai BNO yang akan membelok ke kiri betul-betul sebelum jambatan. Terdapat sebuah pintu gerbang ke Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar di simpang jalan ke Pantai BNO ini. Jalan ini ditandai sebagai Jalan Satu Pantai BNO.




Sepanjang perjalanan ke pantai, akan melihat deretan rumah-rumah nelayan yang berketurunan Cina. Terdapat rumah daripada kayu, juga terdapat juga daripada batu. Malah terdapat juga yang memarkir kereta mewah di depan rumah mereka.



Jalan ini agak lurus sehingga bertemu dengan selekoh ke kanan, bermakna akan sampai tidak berapa jauh lagi. Selepas selekoh ini, akan terdapat simpang jalan ke kiri. Kita boleh ambil jalan ke kiri atau terus, di mana ke kiri adalah lebih kepada jalan ke pantai rekreasi, manakala terus akan ke belakang medan selera Pantai BNO. Saya mengambil jalan terus.


Tiba di lapangan parkir kereta, kami terus ke medan selera. Sebelum itu dapat dilihat masih ada lagi bangunan yang menjadi jeti ke pelantar kelong besar yang tidak jauh dari Pantai BNO ini. Pelantar itu memang menjadi tempat kegemaran kaki pancing untuk memancing. 




Agak ramai juga yang datang berekreasi di pantai ini. Sekarang banyak kereta meletakan kereta mereka di kawasan baru berbanding kawasan lama, iaitu kawasan yang kami letakan kereta kami.


Terdapat sebuah gerai yang menjual khusus layang-layang, di pantai ini memang popular bagi aktiviti bermain layang-layang. Terdapat pelbagai jenis dan rekabentuk yang ada.



Oleh kerana perut kami sudah kedengaran kekeroncongannya, makan kami terus ke destinasi kami. Kini terdapat dua kedai yang menjual mee udang berbanding hanya satu ketika kali terakhir saya ke sini. Untuk membezakan kedai-kedai ini adalah dengan penggunaan kerusi. Terdapat kerusi merah dan kuning. Kami memilih kerusi merah, iaitu gerai Jaiton (Zaiton) Laksa Pantai.



Jika berminat untuk duduk di ruang lebih terbuka, terdapat juga meja-meja makan yang terletak di luar medan selera, yang lebih dekat dengan pantai.


Tanpa membuang masa, saya memesan sepinggan laksa udang untuk saya dan sepinggan mee udang untuk isteri saya. Minuman kami sekadar air kosong kerana agak terik panas mentari pada petang ini.




Khidmat yang terbaik, semua pesanan kami diterima dengan agak cepat, dan hidangannya agak panas juga. Bagus. Pada masa sama, isteri saya memesan kerang bakar. Kerangnya pun agak besar. Agak sedap juga kerang bakar dicecah dengan sambal belacan bawang putih. Memang puas hati. 


Setiap hidangan berudang akan mendapat udang yang sederhana besar kira-kira tujuh ke sepuluh ekor. Agak banyak, malah saya sempat bergurau, bertanya adakah ini mee/laksa udang atau udang mee/laksa? Huhuhu. Oleh kerana saya tertarik dengan mee udang yang dimakan oleh isteri saya, maka saya minta mee udang untuk saya pula. Di dalam mee udang ini juga terdapat sebiji telur porch (telur di masak di dalam kuah).


Selepas dua puluh minit, inilah yang terjadi kepada hidangan-hidangan kami. Memang terbaiklah mee udang di sini. Untuk mengetahuan, mee udang di sini berbeza dengan versi Pulau Pinang. Mee udang di sini adalah lebih dekat kepada mee bandung Muar dengan kuahnya yang pekat dan manis.


Seterusnya pembayaran dibuat. Memamg berpatutan malah bagi saya ia agak murah. Kedai ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Isnin dari jam 10 pagi ke 7 petang. Malah jika Isnin jatih pada hari cuti am, ia akan dibuka. 


Kami pun segera ke rumah ibu mertua saya setelah usai makan. Insya Allah akan ke mari lagi. Masih lagi teringang-ngiang rasa hidangan di situ.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää1/8; 
2. Persekitaran: äää1/2;
3. Perkhidmatan: äää3/4;
4. Harga: äää3/4;
5. Keseluruhan: äää8/10.


To read this article in English, click here.

Friday, September 25, 2015

23 September 2015 - Suria Restaurant, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit), Kuala Lumpur - Makanan Arab.

To read this article in English, click here.




23 September 2015 (Rabu)

Suria Restaurant
Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit), 
50100 KUALA LUMPUR


Pada hari ini, saya telah bercuti kerana esoknya adalah Hari Raya Aidiladha, jadi pada tengaharinya, saya dan isteri ingin keluar dari rumah untuk mencuba bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur yang sepatutnya kami mencuba pada esoknya (boleh klik link yang berkenaan di blog KembaraGD). Anak-anak telah kami hantar ke kampung isteri sempena cuti sekolah.


Sebenarnya kami belum makan tengahari lagi pada ketika itu di mana kami keluar dari rumah selepas menunaikan solat Zohor. Terlintas di dalam fikiran saya, bahawa kami sudah lama  tidak makan nasi mendi atau senang orang Malaysia panggil nasi Arab yang murah di Chow Kit. Jesteru itu, kami menunggang motorsikal kami terus menuju ke tempat tersebut.


Restoran yang kami maksudkan adalah Suria Restaurant yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di kawasan Chow Kit. Ia bertentangan dengan stesen minyak Shell, dan berdekatandan sebaris dengan Maybank, Mydin dan TM Point. Kemudahan tempat letak motorsikal terdapat banyak di depan Mydin dan Maybank di atas siar pejalan kaki yang disediakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jika menggunakan kereta, agak sukar, perlu mencari tempat letak yang sewajarnya yang agak jauh. Jika anda sudi membayar saman dari DBKL atau polis trafik, letak sahaja di depan restoran, cuma anda membantu menyesakan jalan.



Nama Suria pada restoran ini bukan sempena nama matahari tetapi merupakan sebutan orang-orang Arab bagi negara Syria. Pemilik restoran ini merupakan orang Syria yang telah berhijrah ke Malaysia sekian lamanya, malah telah berkahwin dengan orang tempatan. Sebenarnya, restoran ini merupakan perniagaan sampingannya, perniagaan utama beliau adalah pasaraya yang menjual barangan runcit Arab, Suria Wholesale Sdn Bhd yang mempunyai kedai selang 3 kedai dari restoran ini dan satu lagi tidak jauh dari situ (bersebelahan dengan CIMB Bank Chow Kit). Malah, perniagaan beliaulah yang mengimport utama minuman Barbican di negara ini, di mana di kedainya menjualnya dengan harga RM2.50 sahaja sebotol.




Di hadapan restoran ini, akan ternampak ketuhar khas untuk ayam panggang golek dan juga kaunter syawarma (kebab) di samping tempat khas roti-roti serta kaunter khas untuk makanan bungkus. Kami terus masuk ke dalam restoran yang mana ia berhawa dingin.




Sesungguhnya suasana restoran ini berubah berbanding dahulu. Kini restoran ini lebih luas dengan lebih banyak meja dan lebih selesa. Terdapat juga kemudahan tandas. Malah sekarang terdapat juga bar khas untuk minuman jus buah-buahan.



Kami pun duduk di meja yang ada. Cuma, agaknya memang budaya Arab, perkhidmatan layan pelanggannya seperti hendak tak hendak sahaja (sama seperti mana-mana restoran Arab tidak kira di Malaysia atau di negara Arab sendiri). Dekat beberapa minit, walaupun punat loceng di meja ditekan, barulah sampai untuk berikan menu.




Tidak dinafikan, harga makanan arab di sini antara termurah. Terdapat beberapa hidangan nasi tidak terhad kepada mendi sahaja, seperti kabsah, biryani dan madghaut. Untuk hidangan nasi dengan ayam suku ekor, harganya cuma RM6.00 sahaja! Untuk hidangan kambing, hanya RM12.00 sahaja! Murah bukan. Ada juga hidangan separuh ayam dan juga seekor ayam.



Kami memesan sepinggan Nasi Mendi Ayam (untuk isteri saya) dan Nasi Kabsah Ayam untuk diri saya. Cukuplah ambil ayam suku sahaja masing-masing. Ayam yang digunakan adalah ayam panggang golek, cuma bagi saya ia agak kering, terlebih masak dan jika di hujung kepaknya agak hangus. Tapi nasib baik ada sup (atau jus?) lemak kambing/ayam yang diberikan bersama-sama nasi.


Hmmm, memang nikmat, sudah lama tidak rasa makanan arab. Bolehlah ke sini jika bajet anda agak kurang namun amat teringin makan makanan Arab, cuma bahagiannya (portion) agak sikit berbanding di restoran lain. Saya agak suka nasi kabsahnya yang agak berempah. Untuk minuman, biasanya saya akan memesan Barbican perisa buah delima, namun cuma ada perisa asli (malt) sahaja yang kurang saya minati. Jadi saya ambil Mirinda Strawberry sahaja. Isteri saya suka minuman jenama Rani (jenama dari negara Arab yang popular, malah terdapat di Makkah) terutama perisa mangga.



Akhirnya habis juga makanan yang kami makan ini. Alhamdulillah. Restoran ini amat sesuai, terutama jika hendak atau pulang dari membeli-belah di pasar Chow Kit (Raja Bot) atau sekitarnya seperti GM Plaza. Memang hidangan Arab asli yang bajet.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: äää; 
2. Persekitaran: ääää;
3. Perkhidmatan: ää;
4. Harga: ääää;
5. Keseluruhan: äää.


To read this article in English, click here.

Monday, September 21, 2015

20 September 2015 - Warong Mee Udang Banjir, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Selangor - Mee Udang.

To read this article in English, click here.




20 September 2015 (Ahad)

Warong Mee Udang Banjir Tanjung Karang
Kampung Tengah
45500 Tanjung Karang
SELANGOR

Pada tengahari hari tersebut, saya dan keluarga pulang ke kampung isteri di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, untuk menghantar anak-anak kami bagi merasa tinggal di kampung bersama datuk dan nenek mereka.




Oleh kerana belum makan tengahari lagi, kami mengambil keputusan untuk makan di Warong Mee Udang Banjir Tanjung Karang. Sudah lama tidak singgah makan di sini. Jalan-jalan Cari Makan TV3 dan pelbagai rancangan berkaitan makanan di televisyen telah membuat liputannya di sini.


Untuk ke sini, jika kita dari Kuala Lumpur atau Klang atau Bestari Jaya (Unisel) perlu menempuh pekan Tanjung Karang dahulu. Teruskan sehingga melepasi pekan Tanjung Karang. Teruskan perjalanan sehingga kira-kira 5 kilometer, kita akan dapat melihat papan tanda di atas bahu jalan di sebelah kiri berwarna kuning bertulisan merah seperti gambar di atas, bermakna warong ini dibuka. Hendak jelas lagi, terdapat papan tanda lebih besar di belakangnya berwarna putih bertulisan merah.


Jika dari arah Sabak Bernam, teruskan sehingga melepasi Sungai Burong dan simpang Sungai Sirih - Bagan Tengkorak. Kira-kira dekat-dekat 1 kilometer dari simpang tersebut, kita akan dapat melihat Masjid Janatul Hasanah, Kampung Tengah, Tanjung Karang. Warungnya di sebelah masjid tersebut.

Sekarang, terdapat ruang parkir kereta yang disediakan di antara warung ini dan masjid. 



Orang agak ramai juga di sini. Memang tidak putus. Memang ramai peminat. Terdapat televisyen untuk hiburan. Itu sahaja, Tidak WiFi ye, huhuhu. Namun di sini liputan 3G malah LTE boleh didapati tidak kira syarikat mana yang dilanggani.


Harga agak berpatutan juga, cuma agak naik sikit berbanding kali terakhir kami datang ke sini. Harga untuk mee bandung udang dan mee udang banjir adalah RM9.00 (pernah dahulu kami makan dalam RM5.00 sahaja, tapi biasalah sekarang ini harga barang dah naik). Untuk nasi goreng udang dan mee goreng udang, harganya RM7.00. Terdapat sup tulang, sup kaki ayam dan soto dijual. Boleh lihat menu di atas (maaf gambar tidak tajam).

Kami memesan mee udang banjir, nasi goreng udang dan set sup kaki ayam bersama nasi dan telur dadar. Minuman kami biasa-biasa sahaja (air kosong & teh o ais limau). Perkhidmatan yang diberikan agak lambat juga terutama minuman. Malah makanan sampai dahulu baru minuman sampai, walaupun air kosong!


Sampalah makanan kami, kualiti dan rasa masih sama (maaf, untuk makanan selain mee udang saya lupa untuk mengambilnya). Tidak hairanlah pelanggan makin ramai ke sini.

Cuma bilangan udang sudah sikit, iaitu empat ekor saiz sederhana besar. Tapi kira oklah kali ini. Saiz mangkuk pun seperti lebih kecil. Jadi walaupun rasanya sedap, tapi rasa tidak puas. Boleh sahaja hendak ambil mee udang banjir special tetapi harganya hampir dua kali ganda (RM17.00).

Alhamdulillah, kenyang juga, itulah rezeki kami kali ini.


Pada kunjungan saya pada kali ini, saya berikan (markah) penuh adalah lima (äääää)): 
1. Makanan: ääää; 
2. Persekitaran: ää1/2;;
3. Perkhidmatan: ää1/2;
4. Harga: ää1/2;;
5. Keseluruhan: ää9/10.


To read this article in English, click here.